Assalamualaikum..apa khabar saing rodong kita?
Semoga sihat sokmo bersama keluarga masing-masing.
Aku teringin sangat nak menceritakan pengalaman aku sebagai cikgu. Aku tahu, ramai yang dok tahu pasal ni. Aku pun tak berhajat menghebohkannya kepada semua memandangkan saing rodong semua bawa haluan masing-masing.
Kembali memutar masa 29 tahun yang lalu. Ketika itu aku bekerja di sebuah kilang di Chendering. Waktu itu aku menjawat jawatan sebagai pembantu stor kanan. Pada 1 Jun 1991 aku telah menerima sepucuk surat rasmi tawaran menjadi penuntut di IPSI. Menurut surat itu aku dikehendaki melapor diri pada 16 Jun 1991 di IPSI Tanjung Malim. Lama juga aku berfikir sama ada nak tolak atau terima tawaran tu.
Hati berbolak-balik
Hati mana yang tak gementar tatkala memikirkan cabaran baru bakal ditempuhi. Ini bukan kerja main-main. Jadi cikgu pelatih di tempat yang aku dok pernah kenal. Berjauhan dengan kampung halaman dan kawan-kawan. Adakah aku layak menjadi guru?
Satu-persatu soalan datang. terpaksa berperang dengan psikologi sendiri pada awalnya. keputusan telah diambil. akhirnya aku terima tawaran tersebut atas beberapa alasan yang ku fikirkan wajar. Surat berhenti kerja aku tulis tangan dan hantar ke pejabat admin tiga hari selepas itu. Mengamuk sakan encik fahmi boss admin. Dia beleber ke aku katanya dok ikut prosedur.
Tekad
Aku beritahu pok bahawa aku dapat tawaran jadi cikgu. Walaupun tidak nampok pok senyum tapi dalam hatinya aku tahu dia suka sangat, aku boleh jadi cikgu. Sebab itu pok buat kenduri doa selamat 3 hari sebelum aku dan pok serta mokcik bertolak ke Tanjung Malim. Akhirnya aku sampai di Tanjung Malim pada 16 Jun 1991 jam 12.00 tengah hari. terus aku masuk ke dewan besar tempat daftar nama. Aku serahkan surat tawaran dan sijil-sijil. lepas sudah daftar aku jumpa dengan pok dan mokcik yang sedang menunggu di luar. Aku beritahu pok dan mokcik bahawa aku kena masuk asrama. Ramai orang yang sebaya dengan aku doh pergi ke asrama bersama senior.
Sedih
Aku berasa sedih sebab lepas ni pok dan mokcik akan bertolak balik ke Teganu. Aku terpaksa hadap sorang diri. Berasa nok menangis tapi aku tahan air mata tu dari jatuh. Cuma aku peluk pok. Pok beri duit ke aku sebanyak 50 riyal. Pok kata buat belanja nanti. Aku rasa lembik macam nok pengsan sebab berasa terharu. Pok sebenarnya sedih juga sebab terpaksa tinggal aku di sini. Saat itu bermulalah kisah aku menjadi guru pelatih selama 2 tahun setengah di IPSI Tanjung Malim. Catatan berakhir di sini. Insya Allah aku akan sambung balik selepas ada masa nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan