Selasa, 21 Julai 2020

PENGALAMAN MENJADI SEORANG GURU PELATIH DI INSTITUT PENDIDIKAN SULTAN IDRIS TANJUNG MALIM PERAK DARUL RIDZUAN.


Hari ini 22 Julai 2020 sekolah mula dibuka untuk kemasukan murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 4. Minggu lepas murid-murid tahun 5 dan 6 masuk dahulu selepas diumumkan oleh YB Menteri Pendidikan. Hari ini ada sedikit ruang masa untuk aku menulis selepas menyelesaikan kerja-kerja pengurusan pada sebelah pagi.

KITA SAMBUNG CERITA YANG TERPUTUS SEKERAT JALAN DALAM CATATAN YANG LALU

Selepas mendaftar secara rasmi aku telah bergelar seorang pelatih di sebuah institusi perguruan yang sangat hebat dengan namanya iaitu SITC kemudian bertukar kepada MPSI dan kemudiannya IPSI. Semasa belajar di sekolah menengah aku pernah belajar tentang SITC dan MPSI. Hanya mendengar nama sahaja dari jauh tidak pernah menyangka suatu hari aku akan menjejakkan kaki di tempat yang begitu hebat namanya.

Di sinilah lahirnya tokoh-tokoh pendidik yang berjuang dalam Kesatuan Melayu Muda satu pertubuhan yang hebat dalam eranya. Antara tokoh-tokoh yang hebat seperti Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, Mohd Isa Mahmud.

Ketika kali pertama menjejakkan kaki di sini kira-kira 29 tahun yang lalu, perkara pertama yang mengujakan hati saya ialah keindahan senibina bangunan Suluh Budiman yang menjadi warisan abadi SITC kepada IPSI. Kekaguman itu bukan semberono tetapi lahir dari pandangan yang ikhlas. Sebagai seorang lelaki yang agak berminat dengan sejarah, saya agak terpegun dengan dinding bangunan ini yang menggerutu. Pelbagai persoalan lahir di kepala pada ketika itu, bagaimana pekerja-pekerja yang membina bangunan Suluh Budiman ini, menghasilkan tampalan "plaster" dinding dalam bentuk bergerutu itu. Semuanya itu terus kekal dalam kenangan dan ingatan saya hingga kini.

Agaknya apa yang saya fikirkan berkenaan dengan dinding bangunan Suluh Budiman yang bergerutu itu mungkin telah lama difikirkan oleh anak-anak kandung sejak dari zaman SITC lagi. Hal ini saya temukan dalam buku tulisan Allahyarham Tan Sri Awang Had Salleh berjudul Warna-Warna Pengalaman Seorang Guru yang menyatakan kekagumannya juga terhadap dinding bangunan Suluh Budiman yang bergerutu itu. Nampaknya saya tidak berseorangan dalam hal ini.

Duduk dan tinggal belajar di IPSI menjadikan saya begitu kemaruk dengan sejarahnya yang panjang. Saya mencari dan membaca buku-buku yang punya perkaitan dengan sejarah kewujudan SITC, MPSI, dan IPSI. Senarai nama anak-anak kandung yang terkenal juga dicari hingga akhirnya saya menyimpan hasrat pada suatu masa nanti mahu menghasilkan satu catatan bagi mengenang jasa dan sumbangan institusi ini suatu ketika dahulu. Namun hingga ke saat ini, citra penulisan berkenaan masih lagi tidak tertunai oleh diri saya. Ternyata saya belum punya ikhtiar dan ilmu untuk penulisan seumpama itu. Sehinggalah hari ini saya dapat menulis dalam blog saya.


Entah mengapa hari ini saya cuba untuk menulis tentang SITC yang rasanya sudah banyak kali dibicarakan oleh ramai ilmuwan serta masyarakat di luar sana. Ia cuma penulisan picisan yang sekadarnya dari seorang anak kandung Suluh Budiman yang menyanjung tinggi ibu kandung. Saya mencuba seadanya ... dari fikiran yang berbeza. Seperti mana yang pernah saya cuba perjuangkan satu ketika dahulu !

SEDIKIT NUKILAN TENTANG IBRAHIM YAACOB

Orang Melayu pada zaman penjajahan dilingkungi oleh semangat kenegerian yang menebal. Hal ini menjejaskan sama sekali penyatuan orang-orang Melayu dalam kelahiran semangat kebangsaan yang bersatu. Ini disesakkan lagi dengan kewujudan istilah orang Melayu asal, orang Melayu bangsa dagang, orang Melayu darah keturunan Arab dan orang Melayu darah keturunan India yang sekaligus seolah-olah membezakan antara ras rumpun Melayu itu. Perpecahan itu amat ketara dan persatuan-persatuan Melayu yang ditubuhkan dalam tahun-tahun 1920an hingga 1930an lebih bersifat kenegerian. Golongan bangsawan Melayu pula amat sedikit yang berupaya untuk membela nasib orang-orang Melayu. Itulah nasib Melayu ketika itu. Melukut di negerinya sendiri.


Keadaan ini mula hilang satu persatu apabila wujudnya sebuah institusi pendidikan yang khusus bagi melatih guru-guru sekolah Melayu pada tahun 1922 iaitu Sultan Idris Training College di Tanjong Malim Perak. Di sini, bakal-bakal guru dari seluruh semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Boneo Utara dan Brunei disatukan di bawah satu bumbung. Pergaulan bakal-bakal guru yang dari pelbagai negeri inilah yang mula mewujudkan satu ikatan kebangsaan Melayu terawal yang mungkin tidak dapat dilihat secara mata kasarnya pada ketika itu. Memetik karangan dari Adi Mas yang saya kutip dari majalah Chenderamata MPSI bilangan 65 tahun 1973, beliau menyatakan :


" Dalam tahun 1929, lahirlah secara haram dua buah badan politik dalam maktab perguruan itu, ia lahir di tengah-tengah semangat nasionalisma yang berapi-api. Dua badan politik haram itu diberi nama Ikatan Semenanjung Borneo dan Ikatan Pemuda Pelajar. Dua badan tersebut lahirnya bekerja dan bercakap mengenai kebajikan dan pelajaran tetapi pada batinnya bergerak mengembangkan sayapnya keluar maktab meniupkan semangat nasional anti kolonial Inggeris".


Jadi adalah jelas, sebelum orang-orang Melayu bersatu menentang Malayan Union pada tahun 1946, sudah wujud gerakan yang lebih awal dalam penghujung tahun 1920an. Secara tidak langsung tembok semangat kenegerian yang menebal di kalangan bangsa Melayu pada ketika itu sudah mula dirobohkan sedikit demi sedikit bermula di SITC ini.


Siapakah manusia yang berperanan besar dalam menggerakkan dua pertubuhan haram di dalam batang tubuh SITC ini ? Mereka ini ialah manusia yang berjiwa besar yang mencuba untuk menanamkan semangat kebangsaan dalam diri bangsa Melayu itu. Dicatatkan disini oleh Adi Mas yang meninggal dunia pada tahun 1973 :


"Ibrahim Haji Yaakob yang ketika itu sebagai penuntut 1929 merupakan tokoh utama di samping kawan-kawannya seperti Hasan Bin Haji Manan, Abdul Karim Rashid sebagai tenaga pendorong menggerakkan dua badan politik haram dalam maktab tersebut".


Dan ketika kita di bulan Ogos yang menjadi lambang kepada kemerdekaan negara kita yang mulia ini, pernahkah kita mengenang nama-nama yang tertulis di atas ?. Mereka pelopor kepada permulaan semangat nasionalis yang bersifat kebangsaan. Hasil yang disuburkan oleh mereka ini kelak melahirkan satu golongan pemuda Melayu yang lebih berani dalam menyatakan perjuangan menentang penjajahan. Sayangnya adakah kita pernah mengenang wira-wira ini dalam kita merayakan momen kemerdekaan saban tahun ?


Ibrahim Haji Yaakob disifatkan oleh sesetengah sejarawan sebagai seorang yang oppurtunis, pengecut dan pro-Indonesia. Ia seolah-olah menyebabkan jasa dan sumbangannya bagaikan hilang begitu sahaja terkubur sepi di makamnya di Indonesia. Beliau menggerakkan sebuah persatuan yang lebih besar dan bersifat kebangsaan bernama Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) pada tahun 1940 bersama dengan beberapa orang tokoh besar lagi seperti Mustapha Hussein dan Ishak Haji Muhammad ( Pak Sako ).


Peranan yang dimainkan oleh KMM ini amat besar sekali sepanjang lipatan sejarah negara kita. Secara teknikalnya, KMM ini adalah lubuk asas kepada penubuhan parti-parti politik Melayu selepas itu seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM-PEKEMAM ), Angkatan Pemuda Insaf ( API ) dan Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR ) atau UMNO. Di dalam batang tubuh ketiga-tiga parti besar orang-orang Melayu ini sebenarnya mengalir darah KMM. Hal ini tidaklah berlebihan kerana ahli-ahli kedua parti terbesar Melayu ( API sebahagian dari PKMM ) sebelum merdeka ini adalah patriot-patriot yang memulakan langkah politik mereka dari KMM lagi. Untuk lebih realistik lagi kebanyakan penggerak-penggerak awal politik kebangsaan peringkat akar umbi ini adalah dari kalangan guru-guru Melayu lepasan SITC.



Sewaktu serangan Jepun ke atas Tanah Melayu, KMM bekerjasama dengan Jepun dalam menyingkirkan Inggeris. Ramai berpendapat, KMM lah punca segala kerosakan yang berlaku kepada negara kita semasa pendudukan Jepun. Soalnya disini, pernahkah kita berfikir apakah reaksi Jepun terhadap orang-orang Melayu sekiranya tidak ada KMM yang menjadi "pemudahcara" Jepun menyerang dan menakluki Tanah Melayu ?


Menurut Ibrahim Haji Yakoob dalam penulisannya sempena Perayaan Jubli Emas SITC dan MPSI ( tercatat dalam Majalah Chenderamata bil 65 tahun 1973 ), beliau mencatatkan yang beliau telah menjalankan tugasan yang sangat sukar bagi keselamatan orang-orang Melayu. Disini saya coretkan tanpa merubah sedikit pun penulisan beliau.


"Perjalanan berkeliling Malaya itu sambil mengembangkan K.M.M., pertengahan tahun 1941 saya balik ke Singapura lalu menjadi Ketua Pengarang dan Managing Director s.k ( surat khabar ) Warta Malaya. Pada waktu inilah saya melakukan satu pekerjaan yang sangat sukar antara hidup dan mati, iaitu sebagai orang politik yang terpaksa melakukan satu pekerjaan yang perkerjaan double agent antara C.I.D Inggeris, Jepun dan Komunis, agar sebagai Ketua Agung K.M.M yang berkewajipan berusaha menyelamatkan bangsa Melayu, pentinglah dapat ikut mempunyai kedudukan "bargaining position" antara perebutan kekusasaan yang sedang ada pada waktu itu, sedangkan Inggeris dan Komunis sesudah pecah Perang Dunia di Eropah, telah berbaik-baik bertukar information menentang facist".




al inilah juga pada pandangan saya yang menyebabkan Ibrahim Haji Yaakob mengambil jalan pintas bersekutu dengan Jepun tanpa pengetahuan ahli-ahli KMM. Beliau sudah mengetahui nasib orang Melayu berada di hujung tanduk. " Perhubungannya dengan Jepun dibuat bagi menyelamatkan orang Melayu dari bahaya China dan Thai yang mahu menjajah Malaya " ( Ibrahim Yaakob. Chenderamata 1973 ). Beliau punya pelbagai rahsia baik dari pihak Inggeris, Jepun dan juga komunis.


Perlakuan KMM inilah yang menjadikan Jepun lebih bersikap lunak dengan orang-orang Melayu. Banyak orang-orang besar Melayu yang menjadi tawanan Jepun dapat dibebaskan oleh KMM. Malahan tokoh-tokoh bangsawan terutama dari kerabat diraja juga diselamatkan oleh K.M.M sewaktu Jepun berjaya menawan Malaya. Dilihat dari pebagai sudut Ibrahim dan K.M.M jelas gagal apabila kesatuan ini juga diharamkan kelak oleh Jepun namun untuk peranan awalnya, ia tetap berjaya menyelamatkan status tuan tanah bangsa Melayu ke atas negerinya sendiri.

Orang-orang Melayu juga diberikan lebih peranan mentadbir jauh dari apa yang pernah diberikan oleh British. Memang benar zaman Jepun itu amat mencabar namun ia memberikan banyak rahmad yang tidak terhingga kepada semangat nasionalisma bangsa Melayu khasnya.


Namun pernahkah jasa Ibrahim Haji Yaakob ini dikenang oleh kita sebagai rakyat Malaysia ?. Banyak sekali ahli sejarah Malaysia melabelkan beliau sebagai seorang yang radikal dan berhaluan kiri. Kebiasaannya pelabelan ini menyebabkan mereka terhindar jauh dari cerita sejarah besar kemerdekaan negara kita. Terima kasih Universiti Kebangsaan Malaysia kerana manamakan salah sebuah kolej kediaman yang terdapat di universiti tersebut dengan nama Kolej Kediaman Ibrahim Yaakob. Namun di manakah kubur tempat tokoh ini menghembuskan nafasnya yang terakhir ?


Nun di pulau Jawa Indonesia tempat terakhir tokoh besar SITC ini di dunia. Usai sahaja Jepun menyerah kalah, beliau melarikan diri ke Indonesia dan meneruskan perjuangan politiknya di sana. Kalangan ahli politik dan sejarawan menganggap beliau pengecut dan penakut. Meninggalkan ribuan teman-teman yang kosong tanpa pembelaan dalam vakum dua minggu yang mencabar antara komunis dan kebangsaaan Melayu.

Tetapi bagi saya sesiapa juga akan melakukan seperti beliau mencari perlindungan yang lebih selamat. Harus diingat, beliau menjadi mata dan telinga Inggeris, Komunis dan Jepun sebelum perang dunia kedua berlaku dan akhirnya beliau memilih menyebelahi Jepun. Apakah Inggeris dan komunis akan membiarkan bapa nasionalis KMM ini akan terus hidup selepas itu ? jalan yang terbaik teruskan perjuangan di bumi yang mampu melindunginya.... Indonesia.


Di sana beliau dikenang sebagai pahlawan nasional. Makamnya dipelihara dan kekal disana. Sebutir bintang SITC tertinggal jauh dari tanah kelahirannya. Terima kasih Ibrahim Haji Yaakob ... sejarahmu tetap akan dikenang sebagai pelopor nasionalisma Melayu terawal. Turut bersamanya di Indonesia ialah seorang lagi bekas pelajar SITC iaitu Cikgu Abdul Karim Rashid. Beliau turut membawa diri ke Indonesia pada tahun 1945 setelah bebas dari tahanan Inggeris.


Abdul Karim Rashid ( SITC 1929-1932 turut mengikuti Ibrahim Yaakob ke Indonesia. Di sana Abdul Karim Rashid menyertai Ibrahim Yaacob rakannya yang lebih dikenali sebagai Drs Iskandar Kamel. Perhatikan ringkasan nama IBHY turut diletakkan sekali pada tulisan batu nisan pusara. Al-Fatihah buat bapa nasionalisme Malaya sebenar ! Soalnya ... kenapa kita tidak selesa meletakkan namanya sebagai hero sebenar negara kita ? Pulang dan bawa jasadnya kemari. Ini tanah tumpah darahnya juga .....ini kata-kata ungkapan peribadi saya.


Ahad, 12 Julai 2020

Assalamualaikum..apa khabar saing rodong kita?
Semoga sihat sokmo bersama keluarga masing-masing.

Aku teringin sangat nak menceritakan pengalaman aku sebagai cikgu. Aku tahu, ramai yang dok tahu pasal ni. Aku pun tak berhajat menghebohkannya kepada semua memandangkan saing rodong semua bawa haluan masing-masing.

Kembali memutar masa 29 tahun yang lalu. Ketika itu aku bekerja di sebuah kilang di Chendering. Waktu itu aku menjawat jawatan sebagai pembantu stor kanan. Pada 1 Jun 1991 aku telah menerima sepucuk surat rasmi tawaran menjadi penuntut di IPSI. Menurut surat itu aku dikehendaki melapor diri pada 16 Jun 1991 di IPSI Tanjung Malim. Lama juga aku berfikir sama ada nak tolak atau terima tawaran tu. 

Hati berbolak-balik

Hati mana yang tak gementar tatkala memikirkan cabaran baru bakal ditempuhi. Ini bukan kerja main-main. Jadi cikgu pelatih di tempat yang aku dok pernah kenal. Berjauhan dengan kampung halaman dan kawan-kawan. Adakah aku layak menjadi guru?

Satu-persatu soalan datang. terpaksa berperang dengan psikologi sendiri pada awalnya. keputusan telah diambil. akhirnya aku terima tawaran tersebut atas beberapa alasan yang ku fikirkan wajar. Surat berhenti kerja aku tulis tangan dan hantar ke pejabat admin tiga hari selepas itu. Mengamuk sakan encik fahmi boss admin. Dia beleber ke aku katanya dok ikut prosedur. 

Tekad

Aku beritahu pok bahawa aku dapat tawaran jadi cikgu. Walaupun tidak nampok pok senyum tapi dalam hatinya aku tahu dia suka sangat, aku boleh jadi cikgu. Sebab itu pok buat kenduri doa selamat 3 hari sebelum aku dan pok serta mokcik bertolak ke Tanjung Malim. Akhirnya aku sampai di Tanjung Malim pada 16 Jun 1991 jam 12.00 tengah hari. terus aku masuk ke dewan besar tempat daftar nama. Aku serahkan surat tawaran dan sijil-sijil. lepas sudah daftar aku jumpa dengan pok dan mokcik yang sedang menunggu di luar. Aku beritahu pok dan mokcik bahawa aku kena masuk asrama. Ramai orang yang sebaya dengan aku doh pergi ke asrama bersama senior. 

Sedih

Aku berasa sedih sebab lepas ni pok dan mokcik akan bertolak balik ke Teganu. Aku terpaksa hadap sorang diri. Berasa nok menangis tapi aku tahan air mata tu dari jatuh. Cuma aku peluk pok. Pok beri duit ke aku sebanyak 50 riyal. Pok kata buat belanja nanti. Aku rasa lembik macam nok pengsan sebab berasa terharu. Pok sebenarnya sedih juga sebab terpaksa tinggal aku di sini. Saat itu bermulalah kisah aku menjadi guru pelatih selama 2 tahun setengah di IPSI Tanjung Malim. Catatan berakhir di sini. Insya Allah aku akan sambung balik selepas ada masa nanti. 

Rabu, 26 Februari 2020

SENARAI KOSA KATA DAN UNGKAPAN DALAM PENULISAN KARANGAN YANG BOLEH MENJADI AKSESORI UNTUK MENGINDAHKAN KARANGAN

KOSA KATA DAN UNGKAPAN MENARIK
1.Aspirasi-hasrat
2. Inferens-kesimpulan
3. Sambil menyelam minum air-mendapat dua faedah dalam satu masa yang
    sama.
4. Ilustrasi-gambar
5. Bitara-tiada tandingan
6. Acap kali-sering
7. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.-berfikir semasak-masaknya
8. Konkurensi-persaingan
9. Penawar yang paling mujarab-cara paling berkesan
10. Menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.-berhati-hati
   dalam setiap tindakan
11.Memanifestasikan fikiran - Menggunakan idea dengan sebaik-baiknya
12.Menukilkan kata-kata - Menulis / bercakap sesuatu
13.Memberikan impak - Mengakibatkan / menyebabkan
14.Rentetan senario itu - Selepas fenomena itu
15.Jika ditelusuri - Jika dikaji secara mendalam
16.Penyalur ilmu - Pemberi banyak pengetahuan
17.Alaf baharu - Masa terkini
18Mutakhir ini - Pada masa kini
19.Seantero dunia - Seluruh dunia
20.Menikam sanubari - Merosakkan perasaan
21.Meluaskan horizon pemikiran - Meluaskan pandangan / pemikiran
22.Menggabungjalinkan elemen - Menggunakan pelbagai aspek
23.Merangsang ekonomi - Mengaktifkan proses jual beli
24.Lebih intelektual dan berketerampilan - Lebih bijak dan berkebolehan
25.Simbiosis - Dua benda yang saling berkaitan
26.Masih bermain dengan fantasi - Berkhayal / bermenung / tidak berfikiran matang
27.Mendabik dada - Kesombongan akibat kejayaan / keangkuhan
28.Mengkodifikasikan undang-undang - Menyelaras undang-undang / peraturan
29.Kestabilan spiritual dan fizikal - Keseimbangan rohani dan jasmani
30.Mekanisme kawalan - Alat / aspek yang mengawal sesuatu
31.Pandangan sarwa - Pemikiran biasa / umum
32.Anjakan paradigma - Perubahan demi kemajuan atau kebaikan
34.Relevan dengan kehendak zaman - Diterima dengan perubahan dari semasa ke semasa
35.Landasan berfikir - Cara berfikir
36.Masyarakat konvensional - Masyarakat umum / biasa
37.Mengaibkan diri - Memalukan diri
38.Alma mater - Sekolah / universiti / tempat pelajar
39.Kemapanan fikiran - Keteguhan cara berfikir
40.Alpukah - Daya usaha / inisiatif
41.Bacul - Tidak bersemangat
42.Badai kehidupan - Cabaran hidup
43.Inteligensia - Kumpulan manusia yang pandai
44.Bukti yang konklusif - Bukti yang kukuh
45.Praja - Kota / negeri
46.Prakarsa - Inisiatif / daya usaha
47.pramusaji - Pelayan tetamu di restoran
48.Rutin harian - Kerja yang biasa dilakukan dan sehari-hari
49.Nawaitu diri - Keinginan diri
50.Narsisistik - Terlalu memuji diri sendiri
51.Privasi - Keadaan atau suasana bersendiri tanpa sebarang gangguan
52.Pentas siasah - Dunia politik
53.Polemik - Bahas / debat / konflik
54.Melikwidasikan - Membubarkan / memansuhkan
55.Falah - Kejayaan / kemenangan
56.Interpretasi - Tafsiran / penjelasan
57.Bersilengah - Bersikap tidak tahu
58.Siber-berkaitan dengan komputer dan internet
59.Optimum-kedudukan/paras yang terbaik
60. Dunia tanpa sempadan-globalisasi
61. Pornografi- unsur-unsur lucah
62. Katak di bawah tempurung-ketinggalan
63.Global-sejagat
64.Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya-anak-anak    
      dipengaruhi sikap ibu bapa yang mencorakkannya
65. Kudsi-suci
66. Api dalam sekam-sesuatu yang berlaku secara diam-diam
67.Usia yang baru setahun jagung dan darah setampuk pinang-masih terlalu
      muda
68.Kemaslahatan-faedah
69. Cendekiawan-golongan cerdik pandai
70. Konvensional-umum
71.Alah bisa tegal biasa-menjadi kebiasaan
72. Menyimpang seinci,rugi seribu batu-kerugian yang berganda akibat  kesilapan yang kecil
73.Kriteria - ukuran untuk menentukan nilai sesuatu
74. Ghalibnya-lazimnya
75.Sudah terang lagi bersuluh-telah benar-benar jelas
76. Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri-tidak memberi kesan
7.Hangat-hangat tahi ayam-bersifat sementara/tidak kekal.
78.Menyayat hati-memilukan
79.Sejenak-seketika
80.Menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak-berhati-hati
81.Delinkuen-tidak mematuhi peraturan.
82.Malang tidak berbau-nasib buruk boleh terjadi tanpa diduga
83.Modus operandi-cara
84.Akar umbi-peringkat awal/peringkat dasar
85.Hedonisme-mementingkan hiburan.
86.Era kontemporari –zaman moden
87.Menangguk di air keruh-mengambil keuntungan
88. Ironinya-kesannya.
89.Konsentrasi-tumpuan
90.Jalan mudah-cara senang
91.Baling batu sembunyi tangan-tidak mahu bertanggungjawab
92.Alternatif-usaha yang menjadi pilihan
93.Risiko-masalah
94. Sampel-contoh
95. Fobia-takut
96.Nasi menjadi bubur-terlambat.
97. Izharnya-jelas
98.Drastik-segera
99.Berkompromi-bertolak- ansur
100.Kesiagaan-keaaan bersiap sedia
101. Enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing-mementingkan diri sendiri
102.Obses-asyik
103.Peri pentingnya-keutamaan
104.Cerucuk pembangunan negara-nadi kemajuan negara/tiang utama
105.Kestabilan spiritual dan fizikal-keseimbangan rohani dan jasmani
106.Otak yang cerdas itu datangnya dari badan yang sihat.-tubuh yang sihat membolehkan seseorang 
         berfikir secara bijak dan rasional
107.Meniupkan api semangat –memberi dorongan
108.Jika ditelusuri-jika dikaji secara mendalam
109.Onak dan duri-pelbagai rintangan
110.Di mana ada kemahuan di situ ada jalan-sekiranya  menginginkan sesuatu pasti ada caranya.
111.Meluaskan horizon pemikiran-meluaskan pandangan/pemikiran